Pages

Tuesday, October 4, 2011

Antara pilihan

Kalau saya pilih ini, siapa saya 10 tahun akan datang?
Tiada jawapan. Kerana manusia memang tidak mampu membaca masa depannya. 



Pilih untuk saya

Dulu ketika kecil, ibu dan ayah adalah orang yang menentukan banyak perkara dalam hidup saya. Kalau ibu pilih mahu masak ayam pada hari itu, maka hari itu saya makan ayam. Kalau ayah kata mahu bawa saya ke Pantai Klebang, maka hari itu saya menghirup udara pantai. Kalau ibu mahu saya pakai seluar merah, maka saya akan pakai seluar merah. Kalau ayah hantar saya ke tadika Pasti, maka setiap hari saya akan belajar di tadika itu.

Setiap perkara, mungkin hampir semua diputuskan oleh ibu dan ayah. Saya hanya ikut sahaja. Tak perlu fikir mana lebih baik atau mana lebih buruk. Tak perlu juga fikir kesan dan akibat.

Belajar memilih

Kemudian selepas UPSR sehingga tingkatan 5, saya masuk asrama. Di asrama, jadual seharian telah ditetapkan. Saya hanya perlu ikut sahaja. Kalau tak ikut, nahaslah nanti nama akan dicatit oleh pengawas. Saya sangat takut kalau nama saya dicatit oleh pengawas. Jadi, seboleh-bolehnya saya akan ikut semua peraturan sekolah. Ada juga sekali sekala saya teringin melanggar peraturan, contohnya pada satu petang, sepatutnya waktu itu semua pelajar wajib mengosongkan dorm dan keluar melakukan aktiviti riadhah. Huh, saya benci sekali keluar beriadhah, sebab saya bukan orang yang suka bersukan. Petang itu pula, ada kawan-kawan saya yang turut malas beriadhah mahu terus duduk di dalam dorm. Jadi, saya ikut mereka. Kami terlepas dari dikesan pengawas, tapi jantung saya berdebar macam nak meletup. Langsung tak tenang. Maka, hari-hari seterusnya saya tidak berani lagi melanggar peraturan itu.

Berbanding waktu kecil, zaman sekolah menengah telah mendedahkan saya kepada lebih banyak perkara untuk diputuskan sendiri. Bila mahu telefon ibu dan ayah, baju mana yang harus dihantar ke dobi, calon mana yang harus diundi untuk jawatan presiden, persatuan mana mahu ikut, bas mana mahu ambil untuk pulang dan banyak lagi. Saya belajar memilih, pilih yang terbaik untuk diri.

Hidupku, aku yang pilih

Selepas SPM, alhamdulillah saya ditawarkan membuat Persediaan Monash University di Sunway University College. Tamat persediaan, saya menyambung pula ke Monash University Sunway Campus, Malaysia. Waktu ini, ibu dan ayah mula melepaskan sedikit demi sedikit perkara-perkara besar kepada saya untuk diputuskan sendiri. Mahu ambil bidang apa, mahu terima tawaran yang mana, mahu duduk di kolej atau rumah sewa, mahu ambil subjek apa, mahu ikut aktiviti apa, semuanya saya harus pilih sendiri. Kalau tanya ibu dan ayah, yang mereka beri bukan suatu keputusan, tapi panduan yang pasti diakhiri dengan, "Kakak pilihlah mana yang terbaik untuk kakak".

Kadang-kadang tertekan juga, rasa mahu jadi kecil semula. Biar kecil selamanya pun tak apa. Tak perlu pening kepala untuk memilih, menimbang dan mencongak pilihan mana yang baik dan mana yang buruk. Belum lagi kalau mahu cerita soal kecut perut, takut kalau pilihan yang diambil itu salah atau bukan yang terbaik. Tapi mungkin ibu dan ayah mahu mengajar, bahawa mereka bukan selamanya ada untuk saya. Saya harus belajar berdikari. Apatah lagi, semakin meningkat dewasa ini, jarang sekali kami dapat bertemu. Ini menyebabkan ibu dan ayah sudah sukar mahu memahami situasi sebenar saya, apa lagi membuat pilihan terbaik untuk saya. Maka saya harus memilih sendiri, untuk kehidupan yang saya inginkan. Kalau saya salah, biar saya belajar dari kesalahan sendiri dan terus berusaha memilih yang terbaik.

Saya kira, ini adalah suatu kepercayaan yang luar biasa tinggi dari ibu dan ayah buat anaknya. Membiarkan saya mencorak sendiri kehidupan saya, saya tahu mereka risau bukan kepalang. Tapi mereka masih percaya yang saya tidak akan merosakkan kehidupan sendiri. Masih yakin yang saya tidak akan menyalahgunakan kebebasan ini. Terima kasih.

Memilih sendiri dalam perkara besar, menyedarkan saya yang saya sudah besar.



Didalam bimbingan tarbiyyah

Siapa sangka, dibumi yang jauh dari suasana islami seperti di Sunway, saya bertemu dengan tarbiyyah. Dan sejak itu, tarbiyyah membimbing saya membuat pilihan. Pilihlah, tapi bukan hanya terbaik untuk diri sendiri, bahkan terbaik untuk umat juga.

Corak hidup saya

Kini saya sudah tamat belajar. Rupanya kehidupan selepas zaman universiti ini penuh dengan pilihan. Mahu sambung belajar atau mahu berkerja? Mana-mana pilihan menjanjikan impak besar dalam kehidupan. Kalau mahu sambung belajar, dalam bidang apa? Mahu terus hingga PhD atau cukup sekadar master? Selepas itu mahu buat apa?
Juga kalau mahu kerja, kerja di mana? Kerja apa? Kalau ada banyak tawaran bekerja, mahu pilih yang mana? Pening.

Saya sudah memilih untuk menjadi guru. Pilihan yang saya pilih dangan perhitungan tarbiyyah. Sudah lebih kurang 3 bulan saya menyandang jawatan ini. Tidak pasti sampai bila saya akan bergelar guru, sementara atau sehingga ke hari tua. Saya belum memilih lagi. Yang pasti saya mahu karier saya, buan sekadar menjadi sumber kewangan, tapi juga sumber pahala buat saya.

Memilih corak kehidupan, pengalaman memberitahu saya bahawa ia bukan sesuatu yang mudah. Bahkan sangat sukar. Berisiko tinggi. Dan saat inilah saya terasa benar, bahawa hanya pada Allah lah satu-satunya tempat bergantung harap. Dia yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Ya Allah, kalau pilihanku ini adalah yang terbaik
maka permudahkanlah urusannya untukku
dan kalau pilihanku ini bukan yang terbaik
maka tunjukkan ku jalan yang benar